.

Selasa, 9 Oktober 2012

Fadhilat Qiyamullail



“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajjud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat) iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan tartiil”
                (Surah al-Muzammil ayat 1-4)

MUKADDIMAH

   Fizikal, intelek, emosi, dan rohani merupakan aspek utama dalam diri setiap insan.
   Fizikal dibina dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Akal pula dibina dengan menuntut ilmu. Manakala emosi pula dibina dengan mendidik dan membentuk hati supaya tergolong dalam kriteria mahmudah dan dijauhkan dari sifat mazmumah. Rohani pula dapat dibina dengan menperbanyakkan ibadah ruhiyyah ikhlas semata-mata kerana Allah.
   Oleh itu qiyamullail merupakan salah cara membina rohani yang mantap dan seterusnya menjadi penjana jatidiri setiap mu’min. Usaha ini tentunya memerlukan azam, kekuatan, ketabahan, dan pengorbanan kerana nafsu, iblis dan tenteranya sentiasa berusaha memenuhi ruang dan peluang yang ada.

PENGERTIAN
   Qiyamullail ialah bangun pada waktu malam (menghidupkan malam) dengan beribadat kepada Allah seperti bersolat, membaca al-Quran dan berzikir semata-mata mengharap keredhaan Allah.
SEJARAH QIAMULLAIL

   Pada awalnya qiamullail wajib bagi rasulullah dan para sahabat. (Lihat surah al-Muzammil 1-10)
   Namun setelah setahun disyari’atkan amalan itu menjadi sunad muakkad bagi setiap umat Islam .Namun ia tetap wajib ke atas Nabi Muhammad S.A.W.        (Lihat surah al-Muzammil 20)

SEBAB NUZUL AYAT

   Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim daripada Ibrahim al- Nakhi  di mana Nabi sedang berselimut dengan lihaf maka Jibril datang menemui baginda dan menyampaikan wahyu.

HIKMAH QIYAMULLAIL

Meningkatkan keimanan individu
Meninggikan darjat disisi Allah
Dapat beribadah dengan lebih khusyuk
Mendidik jiwa bersyukur dengan nikmat kesihatan dan nikmat waktu malam yang tenang
Melatih diri menjadi insan bertakwa
Melatih diri menperbanyakkan amalan sunat
Mendidik jiwa melawan nafsu dan syaitan
Menyedari bahawa manusia dicipta untuk beribadah
Melatih diri mengharap keredhaan Allah
Memberi ketenangan jiwa (emosi)
Memberi kesihatan (fizikal)
Menajamkan akal fikiran
Meneguhkan kekuatan rohani
Menambahkan rasa kekerdilan di sisi Allah dan bertawakkal kepadaNya.
Melatih diri bersikap khauf(takut) dan  roja’(berharap) kepada Allah .
Dan lain –lain lagi hikmah ganjaran Allah untuk hamba-hamba ikhlas dan istiqamah
KELEBIHAN QIAMULLAIL

Dimakbulkan doanya dan masin perkataan.
Tenang hati dan fikirannya
Dimurahkan rezeki
Dihormati masyarakat
Dilindungi Allah daripada khianat manusia.
Jika dia pemimpin ,dia akan disegani
Dan banyak lagi  (Perlu difahami bahawa segala kelebihan adalah nikmat Allah bergantung kepada rahmat Allah . Allah berhak mengurniakan apa sahaja yang dikehendakiNya)

WAKTU-WAKTU QIYAMULLAIL

   Waktu untuk solat malam ialah selepas isya’ sehingga sebelum masuk subuh. Bagi solat tahajjud, kita digalakkan untuk tidur dahulu walaupun seketika.
   Waktu yang paling utama ialah sepertiga malam terakhir.
            “Puasa yang lebih disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang disukai oleh Allah ialah solat Nabi Daud. Baginda tidur pertengahan malam, bangun sepertiganya (solat) lalu tidur seperenamnya.Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari”
                 H.R. Jamaah selain At-Tarmizi

PANDUAN BANGUN AWAL

Makan malam awal (sebelum Maghrib) dan tidak makan makanan yang berat selepas waktu Isya’
Tidak melakukan bekerja terlalu penat pada waktu siang.
Elakkan diri daripada melakukan daripada melakukan maksiat
Berniat ikhlas mengharap keredhaan Allah
Membaca tiga ayat terakhir Surah al-Kahfi dan niatkan dalam hati agar dapat bangun pada waktu yang diniatkan
Mematuhi adab-adab tidur

ADAB-ADAB QIYAMULLAIL

Berniat sebelum tidur untuk Qiyamullail
“Barangsiapa yang tidur sedang dia berniat akan bangun untuk bersolat di malam hari, tetapi dia terus tertidur hingga pagi, ditulis baginya apa yang telah diniatkannya dan tidurnya itu merupakan rahmat Allah kepadanya”
H.R. An-Nasai dan Ibn-Majah
Sanad Sahih daripada Abu Darda’ R.A.
Tidur mengikut adab-adab yang digariskan
Berdoa, bersuci, bersugi, berwudu’ dan memakai pakaian bersih setelah bangun daripada tidur
Keluar dan memandang ke langit lalu berdoa(rujuk buku panduan qiamullail) dan membaca sepuluh ayat terakhir surah Ali-Imran
Memulakan solat malam dengan solat dua rakaat yang ringan, selepas itu solatlah seberapa banyak yang disukai
Membangunkan dan mengajak ahli keluarga dan rakan-rakan turut serta berqiyamullail
“Apabila seseorang membangunkan isterinya di malam hari lalu kedua-duanya bersolat/bersolat dua rakaat bersama-sama, ditulislah baginya dalam golongan orang-orang yang mengingati Allah”
H.R. Abu Daud
Sanad Sahih drp Abu Hurairah R.A.
Menghentikan solat dan tidur apabila mengantuk dan teruskan apabila hilang perasaan mengantuk
Beribadah sekadar yang mampu lalu dikekalkan (istiqamah) dan jangan ditinggal kecuali darurat.
Muhasabah diri berkenaan amalan dan perjalanan hidup kita sepanjang hari.

AMALAN-AMALAN SUNAT KETIKA QIYAMULLAIL

Solat sunat tahajjud
“dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam dan kerjakanlah solat tahajjud sebagai solat tambahan bagimu. Semoga tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari qiamat ditempat yang terpuji.”
Al-Isra’ 79
“Sebaik-baik solat selain drp solat fardhu ialah solat malam”
H.R. Muslim
Solat sunat tasbih, taubat, istikharah,hajat, mengqada’ solat fardhu, solat mutlak, dan solat sunat yang lain.
Solat witir
Berzikir, bertasbih dan bertahmid
Membaca al-Quran
Dan amalan-amalan lain seperti muhasabah dan memikirkan keagungan dan kekuasaan Allah

PENUTUP

  Qiamullail merupakan sunnah Nabi, amalan para shiddiqin, orang –orang soleh,dan golongan yang mengakui kehinaannya di sisi Allah yang maha Pengasih dan Penyayang dan sebaik –baik ganjaran ,nikmat ,dan rezeki hanyalah Allah S.W.T.
  Adakah kita tidak menyedari keutamaan mencontohi sunnah Rasulullah ? Adakah kita lupa kadar peratusan dosa dan maksiat yang tidak terhingga banyaknya dalam buku catatan di kiri dan kanan kita? Adakah amalan kita sudah mengatasi amalan para ‘abid yang bermujahadah  dengan ibadah malam mereka?Adakah kita lupa bahawa hanya amalan dan taqwa yang menjadi bekalan pada masa yang telah dijanjikan itu ?...........
   Marilah kita bersama-sama berusaha mempertingkatkan keilmuan, keimanan, ketaqwaan dan amalan kita agar kita sentiasa di bawah perlindungan dan inayah Allah dan seterusnya menghayati  dan merealisasikan wawasan
khoiru ummah dan menjadi khalifah yang menepati segala amanah yang di pikul.
   Masa depan agama bangsa dan negara di tangan kita…dan generasi yang akan datang merupakan amanah kepada kita…
Dan mampukah kita menjawab di hadapan Allah tentang keburukan,kemungkaran ,kemaksiatan dan kelemahan  yang diwariskan kepada generasi akan datang      
Yang mana kita turut mendapat bahagian dalam saham yang besar  nilainya ini ?
  Fikirkan dengan mata hati yang sentiasa dilimpahi nur Ilahi 

RUJUKAN

Al-Quran terjemahan Ar-Rahman
Abdul Salam Mohd Zain.1999.Ingin tahu? Solat.Kuala Lumpur.UPD Sdn. Bhd.
Abd Latif Muda dan Rosmawati Ali.1997.Ulum Syariah Ting. 4.Ilham Abati Enterprise
Imam Al-Ghazali(terj.).1998.Rahsia Hakikat Solat Mengikut Tauhid, Fekah dan Tasauf.Darul Nu ‘man
Jainal Sakiban Johari.2003.Qiyamullail Amalan orang-orang soleh. Jabatan agama Johor.
Khutbah jumaat.2003.Jabatan Agama Johor :Qiamullail .
Jabatan Agama Johor . Himpunan    solat –solat sunat .

Penulis Asal : Ustazah Faridatul Akma.

Disusun Semula : Musafir Ilmu, Putera Mu`izz



Tiada ulasan:

Catat Ulasan