.

Jumaat, 11 Januari 2013

~Erti Sebuah Kesetiaan~



Disebuah pekan kecil di Switzerland terdapat sebuah tugu seekor anjing di sebuah stesen kereta api. Pasti ada cerita menarik disitu.

Pada suatu hari, tuan anjing bersama anjingnya keluar dari rumah dalam kedinginan mereka menuju ke stesen kereta api tersebut. Hari itu tuannya terpaksa meninggalkan anjingnya sedang dia terpaksa keluar ke pekan lain atas satu urusan.

Sebaik sahaja kereta api sampai, tuannya mengusap-usap anjingnya dan dengan penuh manja seperti biasa anjing menjilat-jilat tuannnya. Tuannya berangkat dan berlalu pergi bersama kereta api yang menjalar di atas landasan pejal meninggalkan anjingnya di belakang.

Apabila sampai ke pekan yang dituju, tuannya diserang sakit mengejut. Penyakit yang membawa kepada kematian lalu jenazahnya disemadikan di sana.

Keesokannya seperti semalam, anjing ini keluar dalam kedinginan menunggu dengan penuh setia tuannya di stesen. Apabila kereta api sampai, ia menyalak-nyalak dan melompat kegembiraan. Ia duduk bertentangan dengan pintu gerabak, apabila pintu dibuka namun tidak menemui wajah tuannya. Kereta api kemudian berlalu pergi membelah hari dan dengan sugul ia mengatur langkah pulang.

Keesokannya ia datang lagi buat menunggu tuannya dengan penuh setia. Begitulah hari-hari yang mendatang ia ke stesen tersebut. Ia datang dengan melompat-lompat riang sambil menyalak-nyalak di sekeliling stesen kegembiraan. Apabila kereta api sampai sambil menahan nafas bagi meledakkan rasa menerkam dan menjilat manja, tuannya pula akan mengusap-usap kepalanya. Penumpang seperti biasa melangkah keluar seorang demi seorang namun tidak ada wajah tuannya. Dengan wajah sugul dan tertunduk pilu ia melangkah longlai berlalu pulang meninggalkan stesen.

Ia tekun mengulang perkara yang sama setiap hari selama bertahun-tahun, musim berlalu silih berganti. Ia tetap menyalak riang sebelum kereta api datang dan kemudian pulang dengan sugul, namun di manakah tuannya?

Sehinggalah anjing itu tua, ia hanya duduk mundar mandir disekitar stesen namun masih tetap setia menunggu tuannya pulang. Dia kemudiannya tidak kemana-mana hanya mampu berbaring lemah dengan wajah penuh sayu, menanti dan terus menanti. Panjang sungguh episod dukanya. Dalam nafas-nafas terakhir dia masih setia menunggu di tempat yang sama tuannya membelai buat kali teakhir, disuatu masa yang lampau. Di stesen itu akhirnya dia menemui ajal, pada sebuah penantian yang tiada noktah.

Begitulah setianya seekor anjing. Pihak stesen yang merakamkan kisah ini membina sebuah tugu sebagai lambang sebuah kesetiaan.

Bila melihat kisah ini benarlah apa yang telah disampaikan oleh Saidina Ali : "Aku belajar tentang Taqwa daripada kesetiaan seekor anjing kepada tuannya."

Alangkah malunya kita bila kita dibandingkan kita sebagai manusia dengan Allah dan antara seekor anjing dengan tuannya. Lihatlah bagaimana seekor anjing dilayan. Tuan anjing hanya memberinya makan di bawah meja, tidur pula di ruang asing di luar rumah. Ketika hujan turun tempiasnya membasahi anjing lalu mengigil kesejukan.
Satu-satunya kelebihannya ialah dia sedar bahawa dia bukan anjing jalanan yang tidak bertuan. Itu sahaja! Namun seekor anjing tetap setia kepada tuannya.

Sedangkan kita sebagai manusia bukan menerima makanan lebih di dunia ini, bukan menumpang di rumah asing, sebaliknya kita menguasai dunia ini. begitu banyak kurniaan Allah kepada kita sehinggakan para malaikat memberikan tuduk hormat pada hari pertama kejadian kita.

Begitu besar apa yang telah kita terima dari Allah. Tetapi malangnya kita masih belum mampu untuk setia kepada-Nya. Apakah yang ada pada seekor anjing sehingga mempunyai nilai kesetiaan yang tidak terkalahkan ini?

Dalam jalinan perhubungan seharian, nilai tertinggi adalah kesetiaan. Lihatlah kepada
pasangan suami isteri, apakah ikatan teras kepada ikatan mereka kalau bukan kesetiaan?

Apakah akan terjadi bila tiada kesetiaan?

Masih adakah hubungan?

Kekayaan dan kesenangan mungkin tiada, termasuklah luput kegembiraan atau apa sahaja
termasuk yang paling didambakan iaitu kasih sayang, mereka masih tetap bersama selagi masih ada kesetiaan!

Begitulah tingginya nilai kesetiaan. Dan kesetiaan yang paling asas adalah kepada Allah yang menjaga kebajikan kita.

Wallahua'alam.

(Petikan dari buku U-turn Ke Jalan Lurus Oleh Ust. Zul Ramli M. Razali terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan