.

Memaparkan catatan dengan label lelaki. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lelaki. Papar semua catatan

Sabtu, 5 Januari 2013

~Wanita Melamar Pemuda?~




Selalunya lelaki yang harus memulakan dahulu. Pihak lelaki yang merisik khabar, kemudian jika isyarat “lampu hijau” diberikan, maka menyusullah rombongan peminangan. Lelaki meminang wanita. Bagaimana jika sebaliknya, pihak wanita pula yang merisik khabar, kemudian menghantar rombongan meminang? Wanita meminang lelaki. Ah, janggal. Tidak pernah dibuat orang. Begitulah sempitnya adat berbanding keluasan syariat. Justeru dalam sejarah Islam, pihak wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah.

Siti Khadijah meminang Rasulullah. Sayidina Umar pernah “meminang” Sayidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah (tetapi Siti Habsah kemudiannya menjadi isteri Rasulullah SAW). Pada zaman kegemilangan Islam, kedua-dua cara dipraktikkan. Sama ada wanita melamar lelaki atau lelaki melamar wanita. Tidak ada istilah perigi cari timba seperti yang diungkapkan oleh adat atau budaya masyarakat hari ini. Kebenaran kerap kali nampak janggal (untuk dimulakan) sebab ia bertentangan dengan budaya. Tetapi kita perlukan keberanian untuk melakukan anjakan paradigma, seterusnya perubahan sikap… biarpun terpaksa menanggung risiko dituduh tidak tahu malu!

Perlu diingat kekadang adat dan syariat boleh diselaraskan. Namun adakalanya adat bertentangan dengan syariat. Maka pada ketika itu hendaklah diutamakan syariat kerana adat hanya berasal daripada pemikiran dan perasaan manusia manakala syariat bersumberkan wahyu Ilahi. Adat relatif sifatnya – boleh berubah mengikut zaman dan perubahan minda manusia. Tetapi syariat bersifat mutlak, tetap relevan dan signifikan sampai bila-bila.

Tidak dinafikan kekadang adat bersumberkan ajaran agama. Namun apabila selera nafsu dan kecelaruan fikiran berlaku, sering syariat menjadi mangsa pengubahsuaian yang mencemarkan kesuciannya. Adat “membatalkan air sembahyang”, kenduri walimah secara keterlaluan (hingga menyebabkan pembaziran dan sikap menunjuk-nunjuk), mas kahawin yang berjumlah beribu-ribu ringgit, adalah antara contoh bagaimana sesuatu yang mulanya berasalkan kehendak syariat telah bertukar menjadi kehendak nafsu. Sering berlaku, yang sunat dianggap seperti wajib. Manakala yang wajib pula dianggap remeh dan dipinggirkan.

Kepada ibu bapa pihak wanita, malah wanita itu sendiri, jangan takut untuk merubah budaya. Kita mesti berani melawan arus. Hubungan Allah s.w.t. dan sesama manusia saling berkaitan. Marilah kita jaga hubungan kita dengan Allah s.w.t., untuk mendapat kekuatan menyelesaikan masalah manusia. Kita tidak boleh lagi terikat dengan cara-cara konvensional sahaja untuk menyelesaikan masalah ummah. Oleh itu, jika ada seorang lelaki yang anda percayai layak menjadi calon suami yang soleh, ambillah tindakan untuk mula merisik dan melamarnya. Jika diterima, alhamdulillah. Jika ditolak, tidak mengapa. Usah berasa malu kerana anda bukan melakukan sesuatu yang salah dan haram di sisi agama.

Sekalipun ditolak, pihak wanita atau wanita itu sendiri sebenarnya telah melakukan satu usaha yang mulia malah mengikuti jejak langkah Sayidina Umar yang menawarkan puterinya untuk Sayidina Abu Bakar. Bukankah pinangan Umar juga ditolak dengan baik oleh Sayidina Abu Bakar? Namun kemudiannya Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah sendiri sudi memperisterikan Siti Habsah. Jadi bagaimana dengan anda? Tidak mustahil natijah yang sama mungkin anda alami… insya’ Allah s.w.t., Allah s.w.t. tidak akan mengecewakan para hamba yang komited mengikut syariatNya.

Usah berasa malu untuk menjadi “perigi” yang mencari “timba”. Malu yang sedemikian tidak kena pada tempat dan perkaranya. Sayang sekali, kekadang malu kita tidak merujuk kepada syariat. Ketika ramai kaum wanita tidak malu mendedahkan aurat, bergaul bebas dan melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh syariat… apakah anda harus berasa malu mengikut syariat dan menyusuri langkah-langkah para salafussoleh untuk mendapatkan jodoh terbaik untuk anda?

Bukan Sekadar Perigi Cari Timba

 Satu sketsa perbualan suami isteri...

“Kekadang bimbang juga memikirkan, bagaimana agaknya nak menentukan jodoh anak kita nanti?” Luah saya kepada isteri.

“lambat lagi bang, anak kita baru di tahun pertama… ikut kebiasaannya ada tiga atau empat tuhun lagi,” pintas isteri saya, mententeramkan.

“tapi soal jodoh ni tak tentu. Sering juga… tup, tup jadi! Macam kita dulu,” usik saya.

Kami bernikah sewaktu saya masih belajar – pada tahun kedua pengajian. Isteri saya tersenyum. Jelas “mesej” usikan saya mula menerjah hatinya.

“macam mana kalau kita mula amalkan prinsip “perigi cari timba”?” cadang saya.

“eh, malulah. Nanti orang kata anak kita tak laku,” jawabnya. Dia memang begitu. mesti ada kontranya. Tapi ini sudah dikira macam mesyuarat. – pasti ada “give and take”nya.

“balik-balik apa orang kata… mulai sekarang cuba kita buat anjakan paradigma – apa tuhan kata. Tuhan kita hanya satu, mudah kita nak patuh. Kalau manusia kan beribu… mana satu yang kita nak dengar dan ikut?” balas saya.

“tapi dalam masyarakat, kalau dapat jaga kedua-duanya sekali, kan baik?”

“masyarakat boleh berubah. Kita kena ubah persepsi mereka dengan apa yang ditentukan oleh Tuhan. Insya’ Allah s.w.t., lama-kelamaan tak ada konflik lagi antara prinsip agama dan budaya masyarakat.”

“dah mulalah tu… kita fikir kecil, dia dah mula melarat ke persoalan yang besar. Takut tak faham saya,” usiknya.

“macam nilah, perigi cari timba… memang suatu yang luar biasa. Biasanya timba yang cari perigi. Itu biasa. Tetapi sesuatu yang dah biasa tak semestinya sentiasa betul dan tidak boleh diubah. Dan sesuatu yang “luar biasa” bukan semestinya tak betul. Sekurang-kurangnya ia boleh dicuba,” jelas saya.

“maksud abang?”

“budaya hanya berasaskan sistem nilai yang selama ni diamalkan secara berterusan. Ia tidak selama-lamanya relevan…”

“apa yang lebih relevan?”

“syariat. Hukum daripada Tuhan. Ia sesuatu yang mutlak… relevan sampai bila-bila.”

“kaitannya dalam soal ini?”

Nampaknya isteri saya mula terpancing dalam “persoalan” besar ketika membincangkan soal kecil. Namun saya rasa itu perlu, kerana kita perlu kembali ke akar sesuatu persoalan bukan sekadar berlegar-legar di ranting dan dahannya sahaja.

“dalam soal meminang ini, Islam tidak menetapkan siapa yang harus memulakan dahulu… timba cari perigi ke atau perigi cari timba. Yang mana pun boleh asalkan prinsip peminangan itu menepati syariat.”

“maksudnya?”

“boleh sahaja perempuan meminang lelaki. Seperti Siti Khadijah meminang Nabi. Sayidina Umar juga pernah meminang Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Usman untuk dijodohkan dengan anaknya. Dan boleh juga lelaki meminang wanita seperti Abul Ash pernah melamar Zainab puteri Nabi Muhammad…”

“ertinya, kedua-dua cara okeylah. Perigi cari timba, atau timba cari perigi… sayang, selama ni kita cuma amalkan satu cara sahaja.”

“kenapa satu cara? Sebab malu dikatakan orang anak kita tak laku?” usik saya lagi.

“bukan malu tu sahaja… tetapi bagi anak perempuan juga ada rasa malunya. Malu nak buka mulut, apalagi nak mula langkah melamar lelaki… isy, saya pun malu.”

“malu tu sesuai dengan syariat tak? Kalau syariat membenarkan kenapa harus malu. Benar-benarkah malu kita tu memang patut malu, atau malu tak bertempat?”

“kenapa abang kata begitu?”

“sebab, banyak lagi perkara yang mesti malah wajib dimalukan tetapi wanita kita dah tak malu lagi. Sepatutnya wanita kita malu berpeleseran, malu mendedahkan aurat, malu bergaul bebas, malu melakukan aksi-aksi tidak bermoral di khalayak ramai… itu sepatutnya dimalukan. Bukan malu nak melamar lelaki.”

“tapi, macam mananya?”

“lamarlah secara terhomat. Melalui perantara. Menerusi situasi dan kondusi yang terpelihara. Eh, tak susahlah. Susah lagi nak mendedahkan aurat, bergaul bebas dan lakukan aksi tak bermoral tu… malukah Siti Khadijah ketika melamar Rasulullah?”

“betul kata abang, susahnya sebab luar biasa…”

“perkara yang biasa asalnya pun luar biasa juga. Kena dilakukan dengan niat membaiki keadaan. Yang timba cari perigi boleh diteruskan, yang perigi cari timba kena mulakan!”

“apa halangannya?”

“halangan ilmu. halangan budaya. halangan dalaman-syaitan dan nafsu.”

“jadi kita perlu sampaikan ilmu, kemudian berani merentas budayalah ya?”

“bemula dengan melawan syaitan dan nafsu. Syaitan ingin menyempitkan jalan kebaikan dengan meluaskan jalan kejahatan. Nafsu pula menghasut kepada yang buruk dengan menserabutkan yang baik.”

“tetapi tidak ke lelaki rasa hebat sangat, perempuan yang melamar dia? Macam low class sangat perempuan ni. Macam takut sangat jadi Andalusia…”

“tinggi atau rendah martabat diukur pada nilaian Tuhan, bukan rasa-rasa kita. Tidak hina mengikut syariatNya. Bila meminang lelaki itu diharuskan, maka itu pastinya tidak akan merendahkan martabat wanita. Dan kita kena yakin bahawa hinanya kaum wanita mahupun lelaki kerana melanggar syariat.”

“jadi nantinya lelakilah yang letakkan harga hantaran, belanja hangusnya?”

“itu tidak termasuk dalam prinsip Islam. Yang wajib hanya mas kahwin. Itu tetap dari lelaki untuk wanita. Yang wajib akad nikah… walimah, kenduri-kendara itu sunat sahaja. Jadi pandai-pandailah berunding bila lelaki dah terima lamaran wanita.”

“pelik ya bang…rasa macam aneh pulak.”

“sebab dah banyak amalan dalam budaya kita yang tidak tepat mengikut ukuran syariat. Yang wajib, dipandang remeh. Yang harus, macam wajib. Yang haram dianggap penting. Yang sunat, dilupakan. Kita kena ubah semua tu, walaupun kekadang dipandang serong pada awalnya.”

“susah, kalau orang tak faham…”

“sebab tu kita kena sampai-sampaikan. Sampaikan apa yang benar. Kemudian cuba jadi role-model kepada apa yang kita sampaikan tu. kan aneh, dulu kita kahwin tanpa bercinta?” ujar saya.

Dia senyum lagi.

“jadi apa yang abang bimbangkan lagi?”

“siapa agaknya yang akan kita lamar nanti…”

“itu tugas kita ke, anak perempuan kita?”

“itulah… takut kita ada calon, dia ada calon…”

“apa susahnya, kita berundinglah nanti.”

Seperti biasa, dia menenangkan.

“entah-entah masih timba cari perigi?” usik isteri saya.

“terpulanglah, kita tawakkal sahajalah. Yang penting, kita didik anak kita baik-baik. Mudah-mudahan dapat suami yang soleh… walau apa jua kaedah pertemuannya.”

Itulah persoalan terasnya. Siapa anak perempuan kita, solehkah dia? Siapa calon menantu kita, solehkah dia?

Soal “perigi cari timba”? itu soal kedua, soal kaedah sahaja…

Sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Anas r.a.:

Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah SAW

Dan berkata: “ya Rasulullah! Apakah baginda memerlukan daku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada puterinya itu: “dia lebih baik daripada mu nak! wanita itu senang kepada Nabi SAW dan menawarkan dirinya!”

(riwayat Bukhari)

Sepintas Lalu,

- dalam soal meminang, Islam tidak menetapkan siapa yang harus memulakan dulu asalkan prinsip peminangan itu menepati syariat.

- Kenapa harus malu jika syariat membenarkan. Malu biar bertempat.

- Lamar secara terhormat, melalui perantara, menerusi situasi dan kondisi yang terpelihara.

- Halangan ilmu, halangan budaya dan halangan dalaman-syaitan dan hawa nafsu.

Jumaat, 4 Januari 2013

~18 Perkara Yang Perempuan Perlu Tahu Mengenai Lelaki ~



Berikut merupakan 18 perkara penting yang wanita perlu paham tentang lelaki.

1.Jika seseorang lelaki meminati wanita, wanita itu tak semestinya cantik. Cukup dengan budi bahasa dan kesopanan yang tinggi. Malah lelaki boleh menyukai wanita yang mempunyai banyak persamaan dengannya sama ada dari segi pemikiran atau minat. Oleh itu, banyak yang boleh dibualkan atau dikongsi bersama.

2.Lelaki juga boleh menjadi seseorang yang begitu sensitif dan mengambil berat (prihatin).

3. Kebanyakan lelaki sebenarnya tidak mengetahui perasaan sebenar yang dirasakan oleh seorang wanita. 

4. Lelaki boleh menerima penolakan dengan baik. 

5. Lelaki cuba menonjolkan sikap kelakiannya untuk menambat hati wanita. 

6. Lelaki memang dilahirkan dengan perasaan yang kuat terhadap wanita. Sebab itu mereka suka melihat dan menjeling wanita. 

7. Kebanyakan lelaki resah bila berhadapan dengan situasi ingin mengajak wanita keluar buat kali pertama!.

8. Lelaki cuba meniru gaya selebriti atau berlagak macho hanya kerana ingin memikat hati wanita. 

9. Bila lelaki cakap, ”Emm. tengoklah dulu” itu seringkali bermaksud dia berkata tidak atau kurang setuju. 

10. Bila lelaki cakap direct to the point dalam sesuatu hal, dia sebenarnya ingin bersikap jujur dan berterus-terang dan mengharapkan wanita memahami maksudnya. 

11. Adalah biasa lelaki cemburu terutamanya apabila perempuan asyik menyebut nama lelaki lain. 

12. Lelaki tak boleh belajar kesemuanya mengenai perempuan dari library atau buku semata-mata. Oleh itu mereka selalu keliru dengan sikap perempuan dan tak faham kenapa perempuan bersikap begitu begini. 

13. Kadang-kadang lelaki perlu mengetahui lebih mendalam tentang bagaimana berhadapan dengan perempuan supaya hubungan dapat berjalan dengan lebih baik. 

14. Betapa hebatnya lelaki itu bersikap romeo dan ‘flirting’ dengan ramai wanita, dia tetap hanya ada seorang teman wanita yang istimewa. Yang lain hanya kawan. 

15. Bila sesuatu hubungan putus di tengah jalan, lelaki juga rasa bersedih cuma dia tak menunjukkannya kesedihannya di depan orang. 

16. Bila seorang perempuan meminati seorang lelaki, perempuan itu patut bagi hint! Mana tau lelaki itu juga menaruh minat. Senang usahanya nanti. 

17. Adalah memalukan bagi lelaki jika tak berupaya menolong wanita. 

18. Kebanyakan lelaki cukup lemah dengan air mata perempuan. Mereka lebih tewas sekiranya air mata itu mengalir dari perempuan yang dikasihi. Sebab itu dikatakan air mata senjata perempuan. 

p/s : Lelaki bukanlah sempurna 100%. Jadi, perempuan janganlah mengharapkan semua yang hebat dari lelaki! Mereka juga normal dan mempunyai kelemahan.

Jadi terimalah kelemahan lelaki dengan perasaan terbuka. Cuba untuk lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kalau lelaki kurang, wanita kena tambahkan. Kalau wanita kurang, lelaki kena cukup kan. Kena ada check anda balance. Baru lah aman sesuatu perhubungan.